Hasil Carian Hadis Terjemahan Melayu
HASIL CARIAN BAGI PERKATAAN/FRASA kasih jari anak yatim BERJAYA MENCAPAI 155 HADIS DARI KOLEKSI SAHIH MUSLIM

21  
Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 1013.
Dari Abu Sa'id Al Khudri r.a., katanya: "Pada suatu ketika, Nabi saw. duduk di atas mimbar, sedangkan kami duduk sekeliling beliau." Sabda beliau, "Yang aku takutkan terhadap kamu semua sepeninggal ku kelak, ialah kurnia Allah terhadap kamu semua berupa harta benda perhiasan dunia." Lalu seorang lelaki bertanya, "Mungkinkah sesuatu yang baik mendatangkan bencana, ya Rasulullah?" Mendengar pertanyaan itu Rasulullah saw. terdiam. Lalu dikatakan orang kepada sahabat yang bertanya itu, "Bagaimana pendapatmu, anda bertanya kepada Rasulullah saw., tetapi beliau tidak menjawab." Jawab orang itu, "Aku kira beliau sedang kedatangan wahyu." Setelah sedar kembali, beliau hapus keringat beliau, lalu beliau bertanya, "Apa gerangan pertanyaan orang yang bertanya tadi?" - dengan sikap seperti memuji. Sabda beliau, "Kebaikan yang sungguh-sungguh baik tidak akan mendatangkan bencana. Tetapi apa-apa yang ditumbuhkan di musim hujan, kadang kadang dapat membunuh atau menyakitkan. Kecuali bagi pemakan hijau-hijauan yang memakan hanya sampai kenyang, kemudian dia menghadap ke matahari, lalu buang air besar atau kecil, sesudah itu barulah dia makan kembali. Sesungguhnya harta benda dunia itu kelihatannya hijau dan manis tetapi sebaik-baik harta seorang muslim, ialah yang disedekahkannya kepada orang miskin, atau kepada anak yatim, dan atau kepada pejuang-pejuang yang berjuang menegakkan agama Allah." Atau seperti yang disabdakan Rasulullah saw., "Siapa yang memperoleh harta dengan tidak halal, maka dia seperti orang yang makan, tidak pernah merasa kenyang (puas). Sedangkan harta itu akan menjadi saksi bagi keserakahannya kelak di hari kiamat."

22  
Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0069.
Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah Saw. bersabda: "Jauhilah tujuh perkara yang membinasakan: (1) Mempersekutukan Allah; (2) Sihir; (3) Membunuh orang yang telah dilarang membunuhnya; kecuali kerana alasan yang dibenarkan Allah (seperti kisas); (4) Memakan harta anak yatim; (5) Memakan riba; (6) Lari dari medan pertempuran; dan (7) Menuduh wanita mukminah yang baik dan tahu memelihara diri, berbuat jahat (zina)."

23  
Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 0617.
Dari Anas bin Malik r.a., katanya neneknya Mulaikah mengundang Rasulullah saw. menyantap juadah yang disediakannya untuk beliau. Setelah selesai makan, Rasulullah saw. bersabda: "Berdirilah! Aku hendak mengimami anda semua solat berjemaah." Kata Anas, "Aku mengambil sehelai tikar yang telah menghitam kerana telah lama dipakai, lalu ku perciki dengan air. Kemudian Rasulullah solat di tikar itu. Aku dan seorang anak yatim berbaris di belakang beliau, dan nenek di belakang kami telah solat mengimami kami dua rakaat, sesudah itu selesai."

24  
Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 0969.
Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda : "Tidak seorang pun yang menyedekahkan hartanya yang halal - di mana Allah memang tidak menerima melainkan hanya yang halal - melainkan Allah menerimanya dengan kanan-Nya (dengan baik), walaupun sedekahnya itu hanya sebutir kurma. Maka kurma itu akan bertambah besar di tangan Allah Yang Maha Pengasih, sehingga menjadi lebih besar daripada sebuah gunung. Demikianlah Allah memelihara sedekahmu, sebagaimana halnya kamu memelihara anak kambing dan anak unta (yang semakin lama semakin besar)."

25  
Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0137.
Abu Dzar r.a. mengabarkan bahawa Rasulullah saw. bercerita: "Pada suatu ketika, waktu aku masih di Mekah, atap rumah ku tiba-tiba terbuka. Lalu Jibril a.s. turun dan membelah dada ku, kemudian dibersihkannya dengan zamzam. Sesudah itu diambilnya sebuah bejana emas penuh berisi hikmah dan iman, lalu dituangkannya ke dada ku, dan setelah itu dada ku dipertautkannya. Kemudian dipegangnya tangan ku, dan ia membawa ku naik ke langit. Ketika kami sampai di langit dunia, Jibril berkata kepada penjaga langit, "Buka pintu!" Tanya penjaga, "Siapa itu?" Jawabnya, "Aku Jibril! Tanya: Adakah orang lain bersama Anda?" Jawab: "Ya, ada! Bersama ku Muhammad saw." Tanya: "Apakah dia sudah diutus menjadi Rasul?" Jawab: "Ya, dia sudah diutus." Maka terbukalah pintu untuk kami. Ketika kami telah sampai di langit dunia, tiba-tiba kami melihat seorang lelaki, yang di kanan kirinya tampak menghitam. Apabila dia melihat ke sebelah kanannya dia tertawa, dan apabila dia melihat ke sebelah kirinya dia menangis. Dia berujar kepada ku, "Selamat datang, hai Nabi dan anak yang soleh." Aku bertanya, "Siapa ini hai Jibril?" Jawab Jibril, "Ini Adam 'alaihissalam. Yang kelihatan menghitam di kanan kirinya itu ialah ruh anak-cucunya. Yang sebelah kanan penduduk syurga dan yang sebelah kirinya penduduk neraka. Kerana itu, kalau dia menengok ke kanan, dia tertawa dan apabila dia menengok ke kiri dia menangis." Kata Nabi saw. selanjutnya. "Kemudian Jibril membawa ku naik ke langit kedua. Kata Jibril kepada penjaga, "Buka pintu!" Penjaga bertanya seperti pertanyaan penjaga langit dunia. Sesudah itu barulah pintu terbuka. Kata Anas bin Malik, "Nabi saw. menceritakan bahawa di beberapa langit beliau bertemu berturut-turut dengan para Nabi: Adam, Idris, Isa, Musa dan Ibrahim shalawatullahi 'alaihim ajma'in. Beliau tidak meceritakan selengkapnya bagaimana pertemuan beliau dengan para Nabi itu selain hanya menceritakan pertemuannya dengan Adam a.s. di langit dunia, dan dengan Ibrahim di langit keenam." Katanya, "Ketika Jibril a.s. bersama Rasulullah saw. lewat di tempat Idris a.s., Idris berkata: Selamat datang wahai Nabi dan anak yang soleh." Aku bertanya kepada Jibril. "Siapa ini?" Jawab Jibril, "Ini Idris!" Kata Nabi saw. selanjutnya, "Kemudian aku bertemu dengan Musa a.s." Kata Musa kepada ku, "Selamat datang wahai Nabi dan anak yang soleh." Aku bertanya, "Siapa ini?" Jawab Ibril, "Ini Musa!" Kemudian aku bertemu dengan Isa a.s. Kata Isa, "Selamat datang Nabi dan anak yang soleh." Tanya ku, "Siapa ini?" J awab Jibril, "Ini 'Isa Ibnu Maryam." Cerita Nabi saw. selanjutnya, "Kemudian aku bertemu dengan Ibrahim a.s." Katanya, "Selamat datang wahai Nabi dan anak yang soleh." Aku bertanya, "Siapa ini?" Jawab, "Ini Ibrahim!" Kata Ibnu Syihab, Ibnu Hazm mengatakan bahawa Ibnu 'Abbas dan Abu Habbah Al Anshari r.a., kedua-duanya berkata, bahawa Rasulullah saw. pernah bercerita: "Kemudian aku dibawa naik ke Mustawa, di mana aku mendengar bunyi coretan kalam." Kata Ibnu Hazm dan Anas bin Malik, Rasulullah saw. menceritakan: Lalu Allah mewajibkan atas umat ku solat 50 kali sehari semalam. Setelah itu aku kembali membawa perintah itu, dan bertemu dengan Musa a.s. Kata Musa, "Kewajipan apa yang diperintahkan Tuhan mu atas umatmu?" Jawab ku, "Allah memerintahkan solat wajib 50 kali." Kata Musa, "Kembalilah kepada Tuhanmu! Sesungguhnya umatmu tidak akan sanggup melakukan sebanyak itu." Kerana itu aku kembali kepada Tuhan ku, lalu Tuhan mengurangi sebahagian. Sesudah itu aku kembali kepada Musa dan ku ceritakan kepadanya bahawa Tuhan mengurangi sebahagian. Kata Musa, "Kembalilah kepada Tuhan mu, sesungguhnya umatmu tidak akan sanggup melakukan sebanyak itu." Kata Nabi saw., "Aku kembali kepada Tuhan ku (sampai berulang kali) sehingga akhirnya Allah berfirman: "Hanya lima, namun nilainya sama dengan lima puluh; dan putusan ini tidak dapat diubah lagi." Sesudah itu aku kembali pula kepada Musa. Dia menyuruh ku lagi supaya aku kembali kepada Tuhan ku, lantas ku jawab, "Aku malu terhadap Tuhan ku." Kata Nabi saw. selanjutnya, "Kemudian aku meneruskan perjalanan bersama Jibril, hingga sampai ke Sidratul Muntaha. Tempat itu dipulas dengan aneka warna yang aku tak tahu warna apa namanya. Sesudah itu aku dimasukkan ke syurga, yang di dalamnya terdapat kubah-kubah dari permata dan tanahnya dari kasturi."

26  
Hadis Sahih Muslim Jilid 3. Hadis Nombor 1441.
Dari Muhammad r.a. katanya, dia bertanya kepada Anas bin Malik kerana dia tahu bahawa Anas adalah seorang yang pandai. Katanya: "Hilal bin Umayyah menuduh isterinya berbuat serong dengan Syarik bin Sahma'. Hilal adalah saudara seibu dengan Al Barra' bin Malik, dan orang yang pertama-tama melakukan sumpah li'an dalam Islam. Kata Anas, "Sesudah Hilal melakukan sumpah li'an di hadapan Rasulullah saw., beliau bersabda: "Cubalah perhatikan perempuan itu, jika nanti anaknya putih, berambut lurus, dan mata agak merah, tandanya bayi itu anak Hilal bin Umayyah. Tetapi jika matanya agak hitam, rambutnya keriting, dan betisnya ramping, maka anak itu adalah anaknya Syarik bin Sahma'." Kata Anas, "Kemudian aku diberitahu orang bahawa anak itu bermata hitam, berambut keriting dan berbetis ramping (iaitu anak Syarik)."

27  
Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2201.
Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Pada hari kiamat kelak Allah Azza wa Jalla berfirman: Hai anak Adam! Aku sakit, mengapa tidak engkau kunjungi Aku?" Jawab anak Adam, "Wahai Tuhan ku. Bagaimana mungkin aku mengunjungi Engkau padahal Engkau Tuhan semesta alam?" Firman Allah Ta'ala, "Apakah kamu tidak tahu bahawa hamba Ku si Fulan sakit, mengapa kamu tidak mengunjunginya? Apakah kamu tidak tahu seandainya kamu kunjungi dia, kamu akan mendapati Ku di sisinya?" "Hai, anak Adam! Aku minta makan kepada mu, mengapa kamu tidak memberi Ku makan?" Jawab anak Adam, "Wahai Tuhan. Bagaimana mungkin aku memberi Engkau makan, padahal Engkau Tuhan semesta alam?" Firman Allah Ta'ala, "Apakah kamu tidak tahu, bahawa hamba Ku si Fulan minta makan kepada mu tetapi kamu tidak memberinya makan. Apakah kamu tidak tahu, seandainya kamu memberinya makan nescaya engkau mendapatkannya di sisi Ku?" "Hai, anak Adam! Aku minta minum kepada mu, mengapa kamu tidak memberi Ku minum?" Jawab anak Adam, "Wahai Tuhan, bagaimana mungkin aku memberi Engkau minum, padahal Engkau Tuhan semesta alam?" Firman Allah Ta'ala, "Hamba Ku si Fulan minta minum kepada mu, tetapi kamu tidak memberinya minum. Ketahuilah, seandainya kamu memberinya minum, nescaya kamu mendapatkannya di sisi Ku."

28  
Hadis Sahih Muslim Jilid 3. Hadis Nombor 1390.
Dari Umnu Habibah r.a., isteri Nabi saw., katanya dia bertanya kepada Rasulullah saw., "Ya Rasulullah! Nikahilah saudara ku 'Azzah. Jawab Rasulullah saw., "Betulkah begitu keinginanmu?" Jawab Ummu Habibah, "Benar, ya, Rasulullah! Kerana aku tidak tega anda beristeri kepada yang lain. Tetapi aku ingin yang menjadi sekutuku dalam kebajikan (maduku) saudara ku sendiri." Jawab Rasulullah saw., "Dia ('Azzah) tidak halal bagi ku (kerana ia saudaramu. Tidak boleh menikahi dua saudara sekaligus)." Kata Ummu Habibah, "Aku mendengar berita bahawa anda hendak kahwin dengan Durrah binti Abu Salamah (yakni anak tiri Nabi saw. dengan isterinya Ummu Salamah). Tanya Rasulullah saw. (agak terkejut), "Dengan anak gadis Ummu Salamah?" Jawab Ummu Habibah, "Ya." Sabda Rasulullah saw., "Seandainya dia bukan anak tiriku yang kubesarkan di rumahku (yang halal ku, dia tetap tidak halal bagiku); kerana dia anak saudara susuanku, kerana aku dan Abu Salamah sama-sama menyusu kepada Tsuwaibah. Kerana itu janganlah engkau tawar-tawarkan lagi kepada ku anak-anakmu dan saudara-saudaramu."

29  
Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0537.
Dari Amir bin Abdullah bin Zubair r.a., dari bapanya, katanya: "Apabila Rasulullah saw. duduk mendoa (tasyahhud dalam solat), diletakkannya tangan kanan atas paha kanan, tangan kiri atas paha kiri. Beliau menunjuk dengan telunjuk, meletakkan ibu jari di jari tengah, serta meletakkan tapak tangan kiri di atas lutut."

30  
Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0079.
Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Pada suatu ketika Rasulullah saw. melalui setumpuk makanan (di pasar), lalu beliau memasukkan tangannya ke dalam tumpukan itu. Setelah diangkatnya kembali, ternyata jari-jari beliau basah. Lalu beliau bertanya, "Kenapa begini, hai penjual makanan?" Jawabnya, "Kena hujan, ya Rasulullah!" Sabda beliau, "Mengapa tidak ditaruh sebelah atas (yang basah) supaya dilihat orang! Siapa yang menipu tidak termasuk golonganku."